Lebih 300 pelajar didakwa jadi mangsa gambar bogel AI, KPWKM sedia tawar kaunseling

GEORGE TOWN – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada pelajar perempuan di Seremban, Negeri Sembilan yang didakwa menjadi mangsa penyuntingan gambar bogel menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beberapa agensi di bawah kementerian mempunyai kaunselor bertauliah yang boleh membantu mangsa serta keluarga yang memerlukan sokongan.

Antara agensi terlibat ialah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Menurut beliau, walaupun belum ada kerjasama khusus diwujudkan berhubung kes tersebut, pihak kementerian akan meneliti keperluan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian.

Nancy menjelaskan bahawa usaha mengenal pasti mangsa mungkin mengambil masa memandangkan gambar yang tersebar telah dimanipulasi menggunakan teknologi AI.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan keluarga yang memerlukan bantuan supaya tampil mendapatkan perkhidmatan kaunseling yang disediakan oleh kementerian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Pink CaRe sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), Rabu.

Terdahulu, laporan media mendakwa lebih 300 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Seremban menjadi mangsa manipulasi gambar menggunakan AI sehingga menghasilkan imej bogel palsu.

Gambar berkenaan dilaporkan bukan sahaja tersebar dalam kalangan pelajar sekolah, malah didakwa dijual menerusi aplikasi Telegram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *