Libas anggota polis dengan parang, buruh dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan

PASIR MAS – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Rabu selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis menggunakan sebilah parang minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Syahid Che Mat, 30, menerima hukuman tersebut selepas pengakuan bersalahnya direkodkan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 17 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syahid dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Koperal Mohd Afiq Amran menggunakan sebilah parang dalam kejadian di tepi jalan Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, kira-kira jam 1.35 tengah hari pada 17 Oktober.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mengalami kecederaan parah selepas dilibas dengan parang ketika menjalankan operasi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini memaklumkan bahawa kejadian berlaku ketika sepasukan anggota JSJN bersama anggota Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan.

Insiden tersebut menyebabkan anggota polis terbabit mengalami keretakan pada tangan kiri selepas suspek bertindak agresif ketika cuba ditahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *