PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan bahawa iklan yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan lesen memandu tanpa perlu menjalani ujian menerusi platform TikTok adalah palsu dan tidak mempunyai kesahihan.
JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung iklan mencurigakan yang menggunakan akaun atas nama Ahmad Mushidi bagi mempromosikan tawaran berkenaan.
Menurut jabatan itu, iklan dan akaun tersebut adalah palsu serta tidak mempunyai kaitan dengan perkhidmatan rasmi JPJ.
Susulan penemuan tersebut, JPJ telah mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap akaun berkenaan.
Dalam masa sama, JPJ mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran mendapatkan lesen memandu melalui iklan atau akaun media sosial yang tidak sah, kerana tindakan itu boleh menyebabkan kekeliruan serta kerugian kewangan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa menyemak kesahihan sebarang promosi dan mendapatkan maklumat berkaitan urusan lesen memandu hanya menerusi saluran rasmi JPJ.












Leave a Reply