Murid tujuh tahun meninggal dunia selepas alami kesukaran bernafas dalam kelas

SEPANG – Seorang murid perempuan berusia tujuh tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Dengkil, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.30 malam.

Menurut beliau, mangsa mengalami kesukaran bernafas sebelum diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian dan kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan dilaporkan meninggal dunia, manakala proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Putrajaya pada jam 8 pagi Selasa.

Norhizam berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.

Terdahulu, tular dakwaan bahawa murid Tahun Satu itu tercekik makanan sebelum meninggal dunia. Bagaimanapun, punca sebenar kematian masih belum disahkan pihak berkuasa.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak benar atau membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut sementara siasatan diteruskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *