KUALA LUMPUR – Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat berupaya membawa Malaysia ke tahap pembangunan lebih tinggi, sekali gus membuka potensi untuk beliau meneruskan kepimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, keyakinan itu bersandarkan prestasi ekonomi negara yang semakin mengukuh, khususnya peningkatan pelaburan asing dan domestik.
Menurut beliau, pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025, berbanding RM46.7 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain itu, kemasukan syarikat teknologi antarabangsa seperti Google dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau turut mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Malaysia juga merekodkan RM218.5 bilion pelaburan diluluskan bagi separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bashir turut berpandangan bahawa pendekatan diplomasi Anwar menerusi lawatan antarabangsa serta keupayaan negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global menjadi antara faktor yang memperkukuh kedudukan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggarkan ekonomi negara berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2026, disokong prestasi positif kebanyakan sektor ekonomi.












Leave a Reply