JERTIH – Niat dua beranak mencari akar kayu di kawasan hutan berhampiran Air Panas La, Hulu Besut bertukar menjadi detik mencemaskan apabila kedua-duanya dipercayai tersesat dan gagal menemukan jalan keluar.
Lebih membimbangkan, kedua-dua lelaki itu tidak lagi dapat dihubungi selepas salah seorang daripada mereka sempat membuat panggilan kepada ahli keluarga bagi memaklumkan keadaan yang dihadapi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Adam Adnan, 25, dari Kulim, Kedah dan bapanya, Adnan Mohamad, 57, dari Alor Setar, Kedah.
Menurut beliau, kedua-duanya menginap di Desa Landak Chalet, Kampung Padang Landak, sebelum keluar kira-kira jam 7 pagi Khamis untuk mencari akar kayu di kawasan hutan berkenaan.
Bagaimanapun, pada kira-kira jam 3.30 petang Jumaat, seorang daripada mereka menghubungi ahli keluarga dan memaklumkan bahawa mereka telah tersesat serta tidak menemui jalan keluar.
Panggilan itu menjadi komunikasi terakhir yang dilaporkan apabila kedua-duanya gagal dihubungi selepas itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga terhadap keselamatan mereka.
Susulan laporan yang diterima, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan penduduk kampung.
Mohd Rozaime memaklumkan usaha mengesan kedua-dua lelaki berkenaan diteruskan bagi memastikan mereka dapat dibawa keluar dari kawasan hutan dengan selamat.
Setakat laporan diterbitkan, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, manakala keadaan serta lokasi sebenar kedua-dua mangsa belum dapat dipastikan.












Leave a Reply