Persidangan Negara Bangsa 2026 Sasar 5,000 Peserta, Belia Jadi Ejen Utama Perpaduan Negara

PUTRAJAYA, 21 November 2026 – Kementerian Perpaduan Negara bakal menganjurkan Persidangan Negara Bangsa 2026 pada 30 November hingga 2 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan sasaran penyertaan seramai 5,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Persidangan selama tiga hari itu bertujuan memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa menerusi penghayatan sejarah, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta pembentukan identiti nasional yang dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

Program berkenaan akan menghimpunkan tokoh akademik, ahli sejarah, pakar pelbagai bidang dan pemimpin masyarakat bagi membincangkan empat tema utama, termasuk Perlembagaan dan Rukun Negara sebagai teras pembinaan negara bangsa, warisan sejarah, keharmonian sosial serta transformasi negara bangsa.

Antara pengisian utama ialah Syarahan Negarawan yang akan disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bagi mengupas perspektif berkaitan kenegaraan, perpaduan dan masa depan Malaysia.

Majlis perasmian penutup pula dijadualkan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Disember ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjadikan agenda pembinaan negara bangsa sebagai keutamaan nasional.

Kementerian Perpaduan Negara turut menegaskan bahawa golongan belia, mahasiswa dan generasi muda merupakan ejen utama pembinaan negara bangsa serta memainkan peranan penting dalam membentuk identiti nasional, menyemai semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian.

Sehubungan itu, seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, diseru untuk mengambil bahagian dalam persidangan berkenaan bagi menyumbang pandangan dan idea mengenai hala tuju masa depan negara.

Penganjuran persidangan ini diharap dapat menjadi platform perkongsian idea dan pengalaman dalam membentuk sebuah Bangsa Malaysia yang bersatu padu, harmoni serta mempunyai jati diri nasional yang kukuh.

Sumber: Kementerian Perpaduan Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *