KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI komited memastikan masyarakat India tidak tercicir, termasuk dengan memperluas akses pembiayaan, memperkukuh pendidikan dan keusahawanan serta menambah baik penyampaian bantuan kepada komuniti itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha tersebut turut merangkumi siri libat urus bersama pimpinan masyarakat India. Sesi berkenaan bertujuan menilai kemajuan agenda kerajaan dan mendengar pandangan serta kebimbangan yang masih dihadapi komuniti itu.
Menurut Anwar, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan dalam bidang pendidikan, keusahawanan, pembiayaan mikro, kebajikan dan bantuan tunai bagi meringankan beban keluarga serta membantu meningkatkan taraf hidup.
Kerajaan juga akan memperluas akses pembiayaan kepada usahawan, memperkukuh peranan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), serta meningkatkan latihan keusahawanan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Lebih banyak peluang pembangunan belia turut dirancang menerusi program mentor-mentee.
Anwar berkata isu yang masih belum selesai, termasuk kemiskinan, kewarganegaraan dan akses kepada bantuan, perlu ditangani dengan segera dan berkesan. Beliau turut menggesa kementerian serta agensi berkaitan memperkukuh kerjasama dan memperkemas penyampaian supaya dasar dan peruntukan kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran.
Beliau menegaskan bahawa usaha kerajaan perlu diterjemahkan kepada perubahan nyata dalam kehidupan rakyat, termasuk masyarakat India.
Sumber : RTM












Leave a Reply